PERMAISURI JOHOR KURNIA 600 SET HIDROPONIK UNTUK PENDUDUK RUMAH PANGSA
DYMM Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, amat mengambil berat akan soal kesihatan mental pelbagai lapisan masyarakat.
Dalam keadaan pandemik COVID-19 yang dihadapi seluruh dunia kini, Baginda Tuanku Permaisuri berikhtiar untuk meringankan tekanan yang dirasai rakyat, terutamanya golongan B40.
“Saya mengambil maklum akan tekanan yang dihadapi penduduk B40, lebih-lebih lagi mereka yang mendiami rumah pangsa kerana berada di kawasan padat.
“Dalam melalui keadaan tidak menentu, adalah penting untuk mereka mempunyai satu aktiviti sihat yang bukan sahaja mengisi kelapangan ketika di rumah, tetapi juga boleh membawakan hasil positif,” titah DYMM Permaisuri Johor kepada Royal Press Office (RPO).
Dengan kerjasama Kerajaan Negeri serta Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perhidmatan Awam (PUSPANITA) Johor, Baginda Tuanku Permaisuri mengurniakan set hidroponik untuk kira-kira 600 penduduk di sekitar daerah Johor Bahru.
Kawasan yang menerimanya termasuk di Taman Mawar dan Taman Cendana di Pasir Gudang, Taman Sri Iskandar, Taman Sri Stulang, Taman Setia Indah, Taman Desa Mutiara, Taman Melana Indah, Pangsapuri Larkin dan Larkin Perdana, Kampung Serantau Baru serta Taman Mutiara Rini.
Menurut Datin Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dr. Noor Azizah Abd Latiff, yang juga Pengerusi PUSPANITA Johor, kurniaan set-set hidroponik berkenaan telah disampaikan secara berperingkat sejak bulan Disember tahun lalu.
“Mereka sangat bersyukur dan gembira atas pengurniaan daripada Tuanku Permaisuri Johor yang mengambil berat akan kebajikan mereka dalam keadaan mencabar ini,” katanya.
#theroyaljohor
#royalpressoffice
#johor